Montaj...

Adat tuan adat berserah,
Mari datang membawa puan,
Adat bersirih adat sejarah,
Untuk tuan kami sembahkan.

Thursday, 3 April 2008

Buat kali terkahir...


Setiap permulaan pasti ada akhirnya...Seperti yang telah saya janjikan...ini, adalah post yang terakhir daripada saya sendiri untuk blog ini.
Baiklah, saya pasti, pembaca setia blog ini, ingin tahu, apakah yang berlaku sepanjang berlangsungnya PESTA PANTUN PIALA CANSELOR 2008. Majlis ini dijalankan pada hari Jumaat (28/2/2008) sehingga hari Sabtu (29/3/2008).

Hari Pertama

Tempat pertandingan peringkat saringan dijalankan

Pada hari Jumaat yang lepas, peringkat saringan telah dijalankan dan semua 10 IPT bertanding pada hari yang sama. Pendaftaran untuk peserta, bermula pada jam 3.00 petang, dan para peserta terus bersiap sedia bagi persiapan terakhir sebelum pertandingan peringkat saringan dijalankan.

Apalah yang Diana dengan Muiz buat tu???

Semua pertandingan peringkat saringan sehinggalah ke pertandingan pantun peringkat suku akhir, dikendalikan sepenuhnya oleh pengiring-pengiring IPT sendiri. Walaupun masing-masing tidak mempunyai sebarang pengalaman mempengerusikan pertandingan pantun sebelum ini, namun mereka tidak kelihatan canggung, malah mendapat pujian daripada pihak hakim sendiri.

Pertandingan pantun pada hari tersebut memakan masa yang agak lama, lebih-lebih lagi, kerana anjakan masa atas masalah yang tidak dapat dielakkan. Meskipun begitu, peserta tidak menampakkan keletihan sepanjang pertandingan berlangsung, malah sentiasa berusaha menghasilkan pantun yang lebih kreatif selaras kehalusan bahasa ibunda. Pemantun daripada Akademi MAS terutamanya, menarik perhatian umum, apabila membuat persembahan yang menarik, sebelum memulakan pertandingan.

Aksi pemantun AKADEMI MAS sebelum memulakan pertandingan... =)

Markah-markah yang dikira oleh para hakim, dihantar ke pihak pengurusan majlis, bagi mengemaskini markah-markah yang diperolehi oleh peserta dan seterusnya mengelakkan daripada sebarang kesilapan pengiraan markah dibuat bagi tujuan adil dan saksama. Pada malam tersebut, kami disajikan dengan Nasi Ayam beserta air sirap, yang disediakan oleh Biro Logistik. Post mortem dibuat sebaik saja, selesai pertandingan pantun di peringkat saringan.

Segala masalah yang timbul, diselesaikan pada malam itu juga, dan sedikit taklimat pada hari esoknya, diberikan oleh Koordinator program. Penat lelah pihak komiti tidak habis selepas pertandingan peringkat saringan selesai. Kami seterusnya bergerak ke Plaza Siswa bagi membuat persiapan terakhir untuk prop Pertandingan Peringkat Akhir Pesta Pantun Piala Canselor 2008. Sekali lagi, biro Logistik dan biro Tugas Khas bekerjasama bagi menyiapkan prob tersebut. Hampir tidak sedar, persiapan yang dibuat memakan masa sehingga subuh pagi.

Uyah renung apa tu??

Walaupun keletihan, Koordinator dan Pengarah program tetap setia membantu kedua-dua biro ini, mengemas kelengkapan barang-barang dan merancang perjalanan kerja yang perlu dibuat pada hari yang terakhir majlis ini.

Hari Kedua

Pada jam 8 pagi, kesemua biro berkumpul di bilik persediaan komiti bagi mendapat taklimat daripada Koordinator program. Semua komiti bergotong-royong mengemas ACR 1003-1005 pada pagi itu. Pada masa yang sama, pertandingan pantun peringkat suku akhir dan separuh akhir dijalankan. Pengacara majlis, saya sendiri bersama Mirul sibuk membuat praktis di tengah-tengah kesibukan komiti lain menyusun kerusi dan menyediakan prop.

Di saat-saat yang genting, prop menghadapi kesulitan kerana kekurangan komiti, pengacara majlis pula, menerima banyak info yang terbaru untuk disertakan sekali di dalam teks. Bagai memahami masalah yang dihadapi oleh komiti, Kamal banyak memberi kata-kata perangsang kepada kami dan Manto turut membantu pengacara majlis dalam melicinkan perjalanan aturcara majlis lantaran menjaga protokol majlis yang beprestij ini. Rehearsel bermula lewat petang dan hanya sekali sahaja dibuat lantas masing-masing beredar dari ACR pada jam kira-kira 7 petang bagi mempersiapkan diri.



Tepat jam 8 malam, ACR mula dipenuhi dengan kehadiran peserta-peserta yang bertanding di pertandingan akhir dan para jemputan. Majlis bermula dengan ketibaan VIP diiringi Pengarah program bersama Presiden PBMKM. Seloka pantun sebagai pembuka bicara pengacara majlis, sebelum memberi laluan pada Nazwan, selaku Pengerusi PERTANDINGAN PERINGKAT AKHIR PESTA PANTUN PIALA CANSELOR 2008. Majlis dirancakkan lagi, dengan sesi beramah mesra bersama pemantun dan para hadirin sejurus selesai PERTANDINGAN PERINGKAT AKHIR PESTA PANTUN PIALA CANSELOR 2008.

Pemantun-pemantun daripada Akademi MAS turut mengadakan persembahan semasa sesi beramah mesra dijalankan.


Persembahan tarian inang moden dan tradisional melayu menyusuli pemantun Akademi MAS. Kumpulan tarian tersebut di bawah naungan PBMKM sendiri dan semuanya mempamerkan langkah gemalai yang mengasyikkan menarik kesemua para hadirin yang datang.


Cabutan bertuah dibuat sebanyak 2 kali dengan menjemput ketua biro komiti untuk mencabut undi. Ketua hakim dijemput untuk membuat ulasan dan komen serta mengumumkan pemenang PESTA PANTUN PIALA CANSELOR 2008.

UKM dinobatkan sebagai JUARA PERTANDINGAN AKHIR PESTA PANTUN PIALA CANSELOR 2008 merangkul piala pusingan dan juga sijil penghargaan. UPSI yang terdiri daripada 2 gadis ayu bertudung kuning serta seorang jejaka segak berkaca mata berjaya mendapat tempat kedua memperoleh sijil penghargaan dan mendapat sorakan yang gemuruh daripada para hadirin. Manakala bagi tempat ketiga dan keempat disapu bersih oleh UPM (A) dan UPM (B). Biarpun tidak berjaya menggodol piala pusingan, persembahan unik daripada pemantun-pemantun Akademi MAS berjaya mencuri hati juri dengan memenangi ANUGERAH JURI julung-julung kalinya diwujudkan!

Majlis diteruskan dengan kata-kata aluan oleh saudara Kamal, Pengarah program dan

PENUTUPAN PESTA PANTUN PIALA CANSELOR 2008, dilancarkan oleh En Syukor, Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Pelajar, MMU Melaka. Montaj dipersembahkan sejurus selepas pelancaran dibuat. Selesai sahaja, majlis ini, kesemua peserta bergambar kenangan di samping komiti-komiti yang terbabit sebelum para peserta beransur pulang. Susunan meja dan kerusi diatur semula, selepas semua hadirin pulang. Post mortem yang terakhir dibuat dan sesi bergambar beramai-ramai dibuat selepas post mortem dijalankan.

Itulah yang berlaku sepanjang program ini berjalan....pelbagai masalah timbul, berjaya ditangini dan kenangan manis dan pahit dinikmati bersama....ikatan yang terjalin, mudah-mudahan merapatkan di antara kami, semoga ukhwah ini kekal abadi buat selamanya.

Saya di sini, mewakili semua komiti BIRO TUGAS KHAS, ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga di atas sokongan padu daripada ahli jawatankuasa tertinggi, bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh semua komiti kepada kami, amat-amat kami hargai. Maaf dipinta dari hujung rambut hingga hujung kaki di atas segala kesilapan dan kekasaran yang dibuat sama ada sengaja ataupun tidak.

Saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat handai yang hadir dari jauh semata-mata untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bagi, begitu juga kepada AMIR KHALIL, AMIR MAJDI, PARTLY DAN AIZUDIN (merupakan orang kuat di sebalik pembikinan BANNER, BACKDROP, TAG dan juga MONTAJ). Jika tiada mereka semua, pasti semua ini tidak akan menjadi. Terima kasih daun keladi.

Terima kasih di atas sokongan padu anda pada blog ini. Di sini, sukacita saya maklumkan di sini, BLOG PESTA PANTUN PIALA CANSELOR 2008 ini, akan dikekalkan atas permintaan ramai. Mudah-mudahan menjadi bahan rujukan pada masa akan datang dan menjadi kenangan yang abadi kepada semua komiti pesta pantun ini.
"Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan..."
Sekian, wassalam....

Serangkap madah bicara...

"Jadikan pesta pantun ini satu 'text book' kamu yang pertama didalam menganjurkan sesuatu program di mmu ini. Kisah-kisah sedih, susah, gembira, dan kejayaan kamu terungkap didalamnya. Semoga kamu generasi baru PBMKM ini boleh membawa persatuan ini ke tahap yang lebih membanggakan pada program-program yang akan datang. "

Sekian,
MOHD FAIRUZ SARIZ BIN ZAINUN,
PRESIDEN PERSATUAN BAHASA DAN KEBUDAYAAN MELAYU (PBMKM).

Sekalung budi, ingin kutaburkan....

Assalamualaikum wbt , syukur Alhamdulillah ke atas Ilahi atas limpahan rezeki dan izin-Nya ke atas kejayaan penganjuran Pesta Pantun Piala Canselor 2008.

Pertama kali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Melayu (PBMKM), saudara Mohd Fairuz Sariz bin Zainon ke atas kepercayaan beliau terhadap saya dalam menganjurkan Pesta Pantun Piala Canselor 2008. Tidak lupa juga kepada senior-senior yang banyak membantu saya dalam menjayakan program yang memartabatkan kebudayan pantun ini yang terdiri daripada Nor Hasmanto, Kak Syaz, Yumni, Kak Aslah, Kak Dayah dan Emman sendiri.

Program Pesta Pantun Piala Canselor ini adalah salah satu program tahunan yang dianjurkan oleh persatuan PBMKM di MMU Melaka, saya sendiri amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk mengalas tanggungjawab ini yang membawa nama MMU di serata IPTA dan IPTS. Syukur Alhamdulillah, penganjuran ini dapat dijalankan dengan jayanya dengan sokongan yang tidak terhingga kepda semua hicom dan komiti yang turut serta dalam menjayakan program yang penuh berprestij ini.

Di kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua komiti yang menjadi sebahagian daripada keluarga Pesta Pantun Piala Canselor. Kepada semua biro yang terdiri daripada Hasmanto selaku Penolong Pengarah, Yumni selaku Setiausaha, Ilvera selaku bendahari, Farhana selaku Ketua Pengurusan, Izham, selaku ketua Teknikal, Zudiana, selaku ketua Tugas Khas, Kak Dayah, selaku ketua Usher dan tidak ketinggalan Ketua biro Logistik iaitu Aji sendiri. Sepanjang pengenalan kita dalam menjayakan program ini, banyak pengalaman suka dan duka kita telah rasai bersama, penat lelah serta pengorbanan dan komitmen kita dalam satu impian untuk memerialisasikan penganjuran program Pesta Pantun Piala Canselor 2008. Syabas! untuk anda semua.

Tahniah saya ucapkan kepada komiti pantun khususnya yang rata-rata terdiri daripada pelajar baru kerana berkecimpung dan bergiat aktif dalam menjadi sebahagian tenaga yang amat penting dalam menjayakan program ini.

Kepada semua komiti yang bukan terdiri ahli persatuan PBMKM, saya amat terharu kepada anda semua dalam penglibatan penganjuran program ini. Harapan saya kepada semua, dapatlah anda menyertai program-program yang disediakan oleh PBMKM kerana saya percaya program2 yang di sediakan dapat bnyak memberi faedah kepada anda semua Insya-Allah.

Tidak ketinggalan, tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pengacara majlis iaitu saudara Amirul, kak Ijat dan Nazwan selaku pengacara pertandingan dalam membantu memeriahkan suasana sepanjang majlis berlangsung. Tahniah! Kepada kamu bertiga.

Akhir kata, harapan saya utk semua adalah teruskan lah semangat kita dalam memperjuangkan dan memertabatkan kebudayaan dan warisan Melayu. “ this is not ending, this is the beginning.”

Terima kasih.
MOHD ZULKAMAL BIN ISHAK,
PENGARAH PESTA PANTUN PIALA CANSELOR 2008.